4 Januari 2008

PERGI DAN DATANG (2007-2008)



Pergi dan Datang (2007-2008)


Pergilah 2007
bersama tali kenangan yang tersimpul
dalam rentetan kotak peristiwa semalam
menyulam selendang gembira dan duka
hasil tenunan manusia mulia dan durjana
mencorak warna kehidupan dan budaya.

Datanglah 2008
nyanyikan lagu cinta damai
bersama alunan irama pengalaman
harmonikan suara keadilan
di pentas dunia edan
bersaksikan segala penindasan dan kekejaman
hasil persembahan kuasa perang.

Pergilah,
pergilah jauh helang sengsara.

Datanglah,
datanglah merpati membawa bahagia.


Shamsul Idzam Jamil
Kuching, Sarawak.

CEKAL


CEKAL
(Mengingati kisah lelaki buta yang tabah)

Tika takdir penentu setia
Bicara hadir menggamit duka
Berpaksi hanya mata hati
Anugerah dari maha suci.

Bermulanya di sini roh mentari
Menyinar semangat cahaya sejati
Menelusi gelap upaya diri
Menyuluh leluhur yang kekal abadi.

3 Jan. 2008.

19 Disember 2007

IKTIBAR KORBAN



Iktibar Korban

Berkurun hadir menyusuri zaman
Mencapai ingatan serta iktibar
Pada detik lambaian Baitullah
Memacu kepatuhan dan taat setia
Korban Ismail dalam kebaktian Ibrahim
Mengabsah perintah Allah
keredaan anak soleh dijanji hasrat
Barang dikurniai zuriat lelaki
DI atas pohonan Iradhil Muqaddasah

Lahirnya Ismail ke tanah suci
Menyusur relung mimpi Ibrahim
Berbisik hajat terniat
Melunas nazar makbulnya doa
Berserah korban putera dicintai
Demi sujud di bawah perintah ibadah korban

Godaan Iblis menerjah tawakal
Api hasutan Syaitan
Membahang jiwa yang cekal
Namun lut lebur munajat kalbu
Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail
Tabah membenteng hasrat Ilahi
Menzahir prinsip ikhlas peribadi
demi memperkuatkan iman
menyambut ribut dugaan.

Bakti taat perintah Al-Khalik
Mengakrab mata belati ke leher Ismail
berbekal kudrat dan tekad Ibrahim
Menyembelih dengan keredaan-Nya
Lalu terjelma keajaiban kebesaran
Leher Ismail memampat keras
Lut dari ketajaman pedang
Lalu mengelus hijab diri
Sujudlah para Malaikat di langit dan Bumi

Bertitah Raja Sekalian Alam:
“Sesungguhnya memiliki keredaan-Ku
Adalah kecintaanmu terhadap anakmu
Penyembelihan adalah ujian yang nyata
Antara ikhlas dan tidak ikhlas.”

Tika terhunusnya belati terakhir
bertandang Jibril membawa kibas
Menyilih korban suci Ismail
Lalu berseru mengagungkan kebesaran
“Allahu Akhbar, Allahu Akhbar”
Ibrahim membalas kesyukuran
“Laa illaha Illallaahu Allahu Akhbar”
Di sahut Ismail dengan keinsafan
“Allahu Akhbar wa Lillahil Hamdu”

Laungan keramat ini
bermulanya kalimah Allah
Terucap di bibir sekalian hamba-Nya
Iktibar kisah kesucian korban.

Shamsul Idzam Jamil
2006
Petra Jaya, Kuching.

PENTAS IBADAH


Pentas Ibadah

Di sini aku bermohon
menghadang ombak nafsu dengan benteng amalan
menjala ikan pahala dengan jaring ibadah
berumpankan doa-doa ketenangan diri
mendekatkan diri di samudera Ilahi
membuang sisa dosa duniawi
mengabdi diri kepada yang Maha Mengetahui
menunaikan kewajipan setiap Muslimin.

Di sini tertanamnya pohon keinsafan
ditabur dengan baja amalan mulia
disiram dengan air akidah
agar tumbuh bersama iman kukuh
tahan diuji taufan nafsu
akarnya mencengkam tanah sifat
tegak batang syariat menghindar kulat khurafat
membuah kalimah rahmat untuk bekalan di akhirat.

Pentas ibadah terpancarnya hidayah
membentuk jati diri Muslimin sejati
bercahayakan kerdipan syiar Islam
yang menerangkan zaman gelap jahiliah
dan menyuluh lorong-lorong mungkar
mementaskan zikir-zikir
memuji keagungan Tuhan Sekalian Alam.


Shamsul Idzam Bin Jamil

13 Disember 2007

LASYKAR HITAM


Lasykar Hitam

Lasykar Hitam,
Bahtera dosa menyusur
Mengocak tasik fikiran
Hadir layar bicara
Hembusan bayu ingkar
Menggetar gua naluri
Dari tebing hasutan.

Lasykar Hitam bergerak,
Menyusup ke setiap urat dan nadi
Dengan barisan tegar
Melebur rasa kasih
Ke acuan angkuh!

Lasykar Hitam mara,
Mencarik-carik jalan waras
Memungkar akal tauhid
Ke arah songsang sejadah.

Lasykar Hitam,
Mencemburui rasa insaf
Dengan cekal dendam
Menyogok khilaf
Kewujudan Adam.

Lasykar Hitam patuh,
Bisikan Azazil
Membawa durjana dosa
Hingga tempikan sangkakala!

Shamsul Idzam Jamil
Kem El-Azzhar
8/12/2006

12 Disember 2007

TAWAKAL


Tawakal

Degup jantung tusukan alpa
Tersidai getir di tangkal madah
simpul mekar di kelopak sedar
Entah berapa harga kasih
Yang di pinggul serat tasbih
Meniti manik-manik kejahilan
Mencarik helai sejadah
Mendakap sikap terumbing minda
Berlagu tenor soprano sasar
Menjiwa watak separuh akal
Tadahkanlah titis kesal
Kembali ke pangkal-Nya.

Shamsul Idzam Jamil
Petra Jaya, Kuching
21.10.2005

SUATU KEBESARAN


Suatu Kebesaran

Dingin bayu meramas tubuh kerdilku
tikaku berada di puncak bukit
sayup segar menyerap ke liang insaf
menyejuk nur-ku yang membahang,
kehijauan saujana alam
membias ke mata syukur
menawan naluri memuji kebesaran
tentang kejadian alam ciptaan Tuhan

Jernih awan putih
memecah sinar suria
meredup bumi pelindung kehidupan
yang menurunkan hujan penyubur tanaman
memberi rezeki kepada petani
mengingatkan aku
ada hikmah di sebalik sesuatu ciptaan-Mu.

Biru lautan penyeri alam
menghimpun pelbagai spesies kehidupan
destinasi rezeki sekalian nelayan
yang mengabdi diri kepada ciptaan Ilahi
penyambung generasi ke generasi
penghubung benua antara benua
menghidupkan segala yang bernyawa
kebesaran-Mu semakin aku kagumi.

Bunyi cengkerik berlagu riang
siulan burung menggamit orkestra belantara
bagai memuji kebesaran Maha Pencipta
tempat mergastua
mencari makanan dan tempat perlindungan
menyeimbang rantaian konsep alam
yang wujud atas keizinan Maha Pencipta.

Ya Allah ya Tuhanku
Kaulah Maha Pengasih dan Penyayang
menghidup dan mematikan segala yang bernyawa
Kaulah Maha Pencipta Agung
penentu segala-galanya di dunia dan akhirat
kewujudan-Mu menginsafkan aku
dengan segala ciptaan dan kebesaran-Mu.

Shamsul Idzam Jamil
23.01.2005

SYUKUR MUNAJAT


Syukur Munajat

Nikmat munajat menatap wirid
mengalun bicara doa termakbul
zahirnya keredhaan Tuhan
menghulur kasih di lorong daif
hadirnya kewujudan takdir
menyentik semangat kelam
menyusuri gelombang qada’ dan qadar.

Di saat jiwa yang hening
canaikan hati dengan pujian Allah SWT
sujud kemaafan menyedari kebesaran
mensyukuri rezeki lewat semalam
untuk menakung pohonan sejahtera
di bawah perigi keampunan.

Kaligrafi rohani terukir halus
di dinding kecintaan melukis kendiri
bait-bait epilog kebangkitan silam
menutup coretan jumud makrifat
menjadi wahana keagungan ilahi

Jiwa merdeka digalas etika
menyemarak nilai sejagat
menyelami dasar pembangunan tamadun
direnjis gelombang keimanan
ke tebing kemajuan ibadah
yang diterap bersama kepesatan
Ummah dan kecanggihan.

Budaya cemerlang pimpinan takwa
tasbih ilmu menyinar syariat
mencerah lorong gelap khilaf
maju tasawuf mengisi tradisi
menuruti kitab dan hadis
di depani sejadah fardhu insani
memiliki kekuatan muslimin abadi
dalam mentadbir kekuatan Hadhari.


Shamsul Idzam Jamil.
2005

WARKAH BUAT ISTERIKU


Karya cinta Untuk isteriku
(Norhidayah)

Sulaman benang kasihmu
Menjadi selendang peribadiku
Sehingga kusentuh lembut nikmatnya
Lalu tak bisa kulepas diri
Dari magis yang menyelimuti wilayah cinta
Menjalar ke pepohonan hati
Manusia yang bergelar suami.

Kini sungai mengalir laju
Mentari berkilau sinarnya
Langit berarak menyinsing fajar
Kelopak mawar menguntum subur
Segalanya tersingkap tabir keraguan
Menyambut kesatuan dua jiwa
Yang merajut nyanyian pujian

Pandangan pertama dari sang kekasih
Menjernihkan mata telanjang
Terungkap misteri di dunia hadir
Betapa indahnya seni Maha Agung
Yang dicipta dari tulang rusuk
Mengisi ruang sunyi bernama lelaki
Di bawah lembayung ikatan suci.

Alunan halus menyerap batinku
Menggetar jemari yang kaku
Lantas melakar karya cinta
Di atas hamparan selendang kasih
Yang menyusur syair rindu
Di bibir senyumanmu… isteriku.

Selamat Ulang Tahun ke 25
12 jun 2007

BERKAH AHLI SUFI




Berkah Ahli Sufi

Angin perjuangan rasul menyusur lalu
telah ia melintasi banjaran jahiliah
meredah belantara munafik
menyelongkar ke gaung mungkar
azamnya menghembus bayu syariat
ke ruang sesat segala rakyat
menghindar azab laknat
mendapatkan berkat dunia dan akhirat
kepada setiap umat.

Setiap detik dan masa
pelayaran kita di samudera-NYA
harungi liku-liku arus godaan
yang memercik deburan ombak khilaf
melimpahkan air takbur dan taksub
membasahi bahtera insani
menyerap pakaian rohani manusiawi
semakin hari melemaskan tawakal
menenggelamkan tiang fardu
di lantai ibadah.

Berkat dari Ilahi
lahirlah hambali mengalir tasawuf
dari kocakan ahli sufi
kesinambungan rasul pemimpin ummah
menzikirkan wahyu seru sekalian alam
berpacak pada tiang kebenaran
berpaksi pada yang satu
demi menegakkan iman takwa
pada catatan kitab dan hadis
melahirkan takzim para mukmin
menyekat sifat iblis khurafat
menghindar godaan durjana syaitan
meneruskan perjuangan para nabi
menyinar syiar Islam
demi menegakkan agama sebenar
dari Yang Maha Berkuasa.

Shamsul Idzam Jamil
07.01.2005


CINTA SEORANG PENYAIR




Cinta Seorang Penyair

Debur berahi mengalir deras
menerjah ke kolah sahsiah
berpusar ke lubuk gelisah
bertakung di muara ingatan
menjadi air pedoman
menyusuri samudera luahan
membias titip-titip keagungan
memuji kebesaran Ilahi
oleh seorang penyair
merindui kekasih sejati.

Berahinya kepada kekasih
cintanya kepada ibu bapa
kasihnya kepada saudara
rindunya kepada rasul
sayangnya kepada alam
berahi, cinta, kasih, rindu dan sayang
segalanya kepada Seru Sekalian Alam.

Pemikiran seluas cakerawala
mengengsot pengajaran alam sekalian rupa
membelai angin damai membuai
menerjal awan sengketa
menitis air penawar duka
melepas pemikiran berbalam
menyebar ke setiap pelosok alam
menterjemah rangkap kehidupan
di atas coretan kanvas pengalaman.

Inilah cinta seorang penyair
membuak lahar perasaan
yang meletus di gunung pemikiran
terasa bahangnya di lereng kemasyarakatan.

Januari 2005


Nama : Shamsul Idzam Bin Jamil