12 Disember 2007

SUATU KEBESARAN


Suatu Kebesaran

Dingin bayu meramas tubuh kerdilku
tikaku berada di puncak bukit
sayup segar menyerap ke liang insaf
menyejuk nur-ku yang membahang,
kehijauan saujana alam
membias ke mata syukur
menawan naluri memuji kebesaran
tentang kejadian alam ciptaan Tuhan

Jernih awan putih
memecah sinar suria
meredup bumi pelindung kehidupan
yang menurunkan hujan penyubur tanaman
memberi rezeki kepada petani
mengingatkan aku
ada hikmah di sebalik sesuatu ciptaan-Mu.

Biru lautan penyeri alam
menghimpun pelbagai spesies kehidupan
destinasi rezeki sekalian nelayan
yang mengabdi diri kepada ciptaan Ilahi
penyambung generasi ke generasi
penghubung benua antara benua
menghidupkan segala yang bernyawa
kebesaran-Mu semakin aku kagumi.

Bunyi cengkerik berlagu riang
siulan burung menggamit orkestra belantara
bagai memuji kebesaran Maha Pencipta
tempat mergastua
mencari makanan dan tempat perlindungan
menyeimbang rantaian konsep alam
yang wujud atas keizinan Maha Pencipta.

Ya Allah ya Tuhanku
Kaulah Maha Pengasih dan Penyayang
menghidup dan mematikan segala yang bernyawa
Kaulah Maha Pencipta Agung
penentu segala-galanya di dunia dan akhirat
kewujudan-Mu menginsafkan aku
dengan segala ciptaan dan kebesaran-Mu.

Shamsul Idzam Jamil
23.01.2005

Tiada ulasan: